Brough Superior

Logo Brough Superior.

Motosikal dan kereta jenama Brough Superior (sebutan: bruff su-peer-ee-or) dibina oleh George Brough di bengkel Brough Superior miliknya di Jalan Haydn di Nottingham, England dari tahun 1919 hingga 1940. Ia digelar "Rolls-Royce Motosikal" oleh H. D. Teague dari akhbar The Motorcycle. Lebih kurang 3048 buah motosikal merangkumi 19 model telah dihasilkan sepanjang 21 tahun pengeluaran. Setakat tahun 2004, sekitar 1000 buah motosikal masih wujud. T.E. Lawrence ("Lawrence of Arabia") sendiri sahaja memiliki 7 buah motosikal sedemikian dan meninggal dunia akibat kecederaan akibat kemalangan jalan raya semasa menunggang salah satu daripadanya. George Bernard Shaw adalah satu lagi daripada selebriti yang berminat memiliki produk Brough.

George Brough adalah seorang pelumba, pereka dan peragawan. Kesemua motosikal Brough Superior berprestasi tinggi serta memiliki mutu yang sangat baik. Kebanyakannya dibuat menggunakan tangan mengikut kehendak pelanggan, maka jarang sekali ada buah motosikal yang mempunyai konfigurasi yang sama. Setiap motosikal dipasang dua kali. Kali pertama ialah untuk memadankan kesemua komponen, kemudian motosikal itu diceraikan semula dan kesemua bahagian dicat atau disadur mengikut keperluan, dan akhir sekali barulah ia dipasang untuk kali terakhir sebelum dijual. Setiap motosikal diuji tunggang bagi memastikan prestasinya mengikut spesifikasi, serta diperakui sendiri oleh George Brough. Model SS100 ditunggang pada kelajuan 100 bsj (162 km/j) atau lebih sebelum penghantaran. Model SS80 pula ditunggang pada kelajuan 80 bsj (128 km/j) atau lebih sebelum penghantaran. Jika terdapat motosikal yang tidak memenuhi spesifikasi, ia dikembalikan ke bengkel untuk diperbaiki sehingga ia mencapai prestasi yang diingini. Kilatan serta kemasan motosikal tersebut adalah setanding dengan kereta Rolls-Royce, menjadikan ia antara motosikal termahal.

Motosikal Brough Superior jarang dapat ditemui serta sangat mahal. Oleh kerana kaitannya dengan Lawrence dari Arabia, mutu kemasan serta kilatan yang sangat tinggi, serta reputasi hasil kebolehpercayaannya serta kejayaannya dalam perlumbaan, motosikal tersebut merupakan antara kenderaan bermotor paling diinginkan oleh pengumpul kenderaan antik. Pada tahun 2007, harga motosikal antik Brough Superior adalah sekitar AS$40,000 sehingga melebihi AS$3,000,000.

Lawrence dari Arabia menunggang motosikal Brough Superior.

Motosikal Brough Superior

Empat model berikut adalah yang paling lazim:

  • SS100 (Super Sports) - Digerakkan oleh enjin J.A.P. (J. A. Prestwich dari Tottenham) atau enjin Matchless 1000 cc injap atas V kembar. Lebih kurang 383 buah telah dihasilkan dari tahun 1924 hingga 1940.
  • SS80 (Super Sports) - Digerakkan oleh enjin J.A.P. atau Matchless 1000 cc injap tepi V kembar. Lebih kurang 1086 buah telah dihasilkan dari tahun 1922 hingga 1940.
  • SS680 O.H.V. (Super Sports) - Digerakkan oleh enjin J.A.P. 680 cc injap atas V kembar. Lebih kurang 547 buah telah dikilangkan dari tahun 1926 hingga 1936.
  • 11.50 - Digerakkan oleh enjin J.A.P 1000 cc injap tepi V kembar. Ia direka terutamanya untuk pemasangan tempat duduk tepi dan untuk kegunaan polis. Lebih kurang 308 buah telah dihasilkan dari tahun 1933 hingga 1940.

George Brough dikenali kerana sikap dedikasinya terhadap kenderaan serta pelanggannya. Beliau, dan kemudiannya Albert Wallis, terus menservis motosikal Brough Superiors selepas pengeluaran dihentikan. Alat ganti masih dihasilkan sehingga tahun 1969 tetapi pengeluaran motosikal tidak diteruskan selepas Perang Dunia Kedua.

Angka pengeluaran

Tahun Bilangan motosikal yang dikeluarkan 4
1919 0
1920 0
1921 3
1922 103
1923 119
1924 195
1925 168
1926 95
1927 226
1928 155
1929 139
1930 131
1931 117
1932 58
1933 121
1934 104
1935 94
1936 187
1937 173
1938 159
1939 118
1940 10

Termasuk senarai ini, terdapat 13 motosikal yang tidak dicatat tarikh dibuat. Kebanyakan rekod adalah tidak pengkap bagi beberapa tahun pertama pengeluaran serta sebahagian daripada model pengeluaran rendah. Jumlah motosikal yang dikeluarkan kesemuanya dianggarkan sebanyak 3,048 buah.

Rujukan

  • Nota 1:http://www.sandspeedwales.co.uk/, SandSpeedWales, dicapai pada 25 April 2005.
  • Nota 2:http://www.ocsociety.co.uk/Newsletter%2098/articles98fernihough.htm Diarkibkan 2005-01-17 di Wayback Machine, Surat akhbar OCC 1998, dicapai pada 25 April 2005.
  • Nota 3:https://harrisvincentgallery.com/viewItem.asp?idProduct=90 Diarkibkan 2006-01-11 di Wayback Machine, Galeri Harris Vincent, dicapai pada 25 April 2005.
  • Nota 4:http://www.brufsup.com/pages/models/models_produced_menu.htm Diarkibkan 2005-08-30 di Wayback Machine, Kelab Brough Superior, dicapai pada 25 April 2005.
  • Nota 5: A-Z of cars of the 1930's. Michael Sedgwick and Mark Gillies. Bay View Books 1989.
  • Nota 6:http://www.thomashardy.co.uk/te.htm Diarkibkan 2007-06-29 di Wayback Machine T. E. Lawrence, dicapai pada 22 April 2007.
  • Nota 7: Majalah Motor Sport, isu Julai 2007.

Pautan luar

  • Kelab Brough Superior Diarkibkan 2008-02-29 di Wayback Machine
  • Laman web "rasmi" Brough Superior
  • Brough Superior Images at Vintagebike.co.uk Diarkibkan 2008-06-11 di Wayback Machine
  • Photo Gallery by the BBC of Brough Superior Automobiles
  • 3-D image of a Brough Superior Automobile
  • Owners Club for Railton and Brough Superior Cars
  • New "Banquer Superior" motorcycles Diarkibkan 2008-03-11 di Wayback Machine
  • 1936 Brough Superior SS80 Diarkibkan 2008-05-31 di Wayback Machine
  • Brough Superior Golden Dream opposed four with shaft drive Diarkibkan 2010-02-04 di Wayback Machine
  • Site dedicated to one of Britain’s Greatest Heroes Diarkibkan 2008-02-06 di Wayback Machine

Pautan bukan Bahasa Inggeris

  • Amanah Pengangkutan Jepun (galeri gambar terdapat banyak gambar Brough Superior)
  • Laman Brough Superior Jepun